Jumaat, 25 Jun 2010

BERJAYA, CELAKA ATAU TERPEDAYA?






Usaha memperbaiki diri bukan satu suratan (destiny) tetapi satu kembara (journey) yang berterusan. Malah, tidak keterlaluan kalau dikatakan perjuangan memperbaiki diri adalah satu perjuangan nafas panjang (the long breath war). Kita akan sentiasa berubah, sama ada menjadi orang yang lebih baik atau sebaliknya. Jika kita tidak menaik, kita pasti sedang menurun.

Kata hukama: “Orang yang berjaya ialah orang yang hari ininya lebih baik daripada semalam. Orang yang terpedaya ialah orang yang hari ininya sama seperti semalam. Dan orang yang celaka ialah orang yang hari ininya lebih buruk daripada semalam.”

Kita di golongan mana? Berjaya, terpedaya atau celaka? Terpulang pada kita untuk memilihnya.

Ramai yang hanya melihat masalah secara tersurat. Fokus kita hanya sebatas melihat buah atau kesannya, yakni berpaksikan ‘sebab-sebab luaran’ bukan ‘sebab-sebab dalaman’. Lalu sering kali kita gagal menyelami hakikat yang tersirat atau punca sebenar masalah itu. Kita hanya berlegar-legar dan berkisar pada soal-soal ‘kulit’ (akibatnya) bukan pada isi (puncanya).

Murid yang jahat, perketatkan disiplin. Isteri yang meragam, longgokkan harta. Pekerja yang malas, potong gaji. Majikan yang tamak, boikot. Pemimpin yang zalim, demonstrasi. Membuang sampah, denda. Mengedar dadah, gantung!

Tapi apakah semua masalah itu berjaya diselesaikan secara tuntas dengan cara itu? Kita sama-sama tahu jawapannya. Hidup zaman ini terlalu bergantung kepada akta, undang-undang dan peraturan. Bukan menafikan kepentingan undang-undang dan peraturan, tetapi kalau cara itu sahaja yang diharap untuk menyelesaikan semua masalah, yakinlah kita akan berdepan dengan lebih banyak masalah.

Manusia selamanya tidak akan dapat mengawal manusia. Kita perlu kembali kepada Pencipta manusia. Mari kembali kepada Allah. Mari kembali kepada fitrah.

Tiada ulasan: