Strategi Mengampu
Setiap dari kita pasti pernah mengampu. Tidak kiralah dengan siapa, tapi pasti pernah bukan. Sama ada Niat mengampu itu untuk suatu tujuan yang baik mahupun sebaliknya hanya si pengampu yang mengetahuinya. Tapi pastikah anda bahawa teknik mengampu yang diguna pakai itu berkesan? Disini kami coretkan beberapa teknik halus untuk anda mengampu Orang Atasan anda. Untuk Tujuan apa mengampu?. Anda tanyalah diri anda sendiri.
Wortman memberi panduan kepada sesiapa yang hendak mengampu ketua :
[1] Gunakan Teknik Halus
Apabila orang yang hendak diampu itu lebih besar kuasanya, jangan mengunakan taktik mengampu yang terlalu mudah dikesan. Contohnya jangan memuji secara terang-terangan kerana perbuatan itu bukan setakat ketara malah ia boleh menyakitkan hati. Perbuatan memuji ketua menunjukkan seolah-olah orang bawahan mempunyai kelayakan dan hak menilai kerja orang atasanya. Ia juga bermakna seolah-olah orang bawahan tahu apa yang sepatutnya dibuat oleh ketuanya dan bagaimana ketua sepatutnya menjalankan kerja-kerjanya.
[2] Tiada Kaitan Dengan Kerja Rasmi
Orang bawahan boleh mengampu ketuanya hanya dalam tugas di mana orang bawahan itu sudah diiktiraf memiliki kepakaran, ataupun berkenaan sifat peribadi ketua yang tidak ada kaitan dengan tugasnya. sebagai contoh, seorang kerani yang pandai masak boleh memuji ketuanya apabila dia memasak, ataupun seorang jurutaip boleh memuji ketuanya apabila dia cuba menaip. Orang bawahan yang pandai bermain gitar ataupun bermain bola boleh memuji ketua pejabatnya apabila dia bermain gitar ataupun bermain bola kerana kedua-dua perkara itu tidak ada kaitan dengan tugas rasmi ketuanya.
[3] Gunakan Bahasa Badan
Taktik mengampu yang lembut dan dianggap sopan adalah memuji dengan mengunakan bahasa badan, seperti bertepuk, mengangguk-angguk, ketawa dan seumpamanya apabila mendengar ketua bercakap
[4] Puji Di Belakang
Perbuatan memuji ketua di belakangnya dengan harapan orang yang mendengar pujian itu akan menyampaikanya kepada ketua yang dipuji, juga dianggap cara mengampu yang lembut dan sopan.
Perbuatan sanggup menolong ketua di luar jadual tugas ada risikonya, kerana ia boleh menyebabkan ketua berasa dia termakan budi dan terasa terpaksa membayar budi itu. Perbuatan asyik setuju sahaja dengan pendapat ketua juga tinggi risikonya. Suatu kajian mendapati, apabila ketua tahu dia termakan budi orang bawahanya, ketua lebih suka kepadanya apabila dia tidak terlalu menunjukkan dia sentiasa setuju dengan ketuanya. Jadi, kalau kita hendak mengunakan taktik menanam budi kepada ketua, sekali sekala elok kalau jangan setuju dengan ketua. Sebaik- baiknya, jangan bersetuju dalam perkara kecil dan remeh sahaja. Dalam perkara besar, lebih baik kita setuju sahaja dengan ketua.
Cara lain untuk mengampu ketua adalah dengan meneka pendapat beliau dalam sesuatu perkara. kemukakan pendapat itu sebelum ketua sempat mengemukakanya. Katakanlah, pintu kecemasan api pejabat selalu dikunci. Pengampu meramalkan ketuanya berpendapatt setiap pagi kunci pintu itu patut dibuka demi keselamatan. Pengampu boleh mengemukakan cadangan itu kepada ketuanya sebelum dia mengeluarkan arahan itu .
Nota :
Artikel ini adalah sebahagian daripada isi kandungan yang terdapat pada Buku yang bertajuk “BAGAIMANA HENDAK MENDORONG SEMANGAT KERJA” Edisi kemas kini. Panduan Meningkatkan dedikasi dan produktiviti orang-orang bawahan. Hasil karya AINON MOHD. dan diterbitkan oleh PTS Publications & Distributors Sdn Bhd.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan